Bersatu Jayakan Baca Sajak
di TV
Oleh: Lee Keok Chih
MEMBACA artikel ‘Baca sajak di TV semacam ada tak kena’
(Berita Harian Selasa, 22 Oktober 2002), saya teringat
kata-kata penyair Rahimidin Zahari. Beliau memenangi Hadiah
Penulis Muda dalam Sayembara Cerpen Esso-Gapena VIII (1991)
dengan cerpennya berjudul Pak Da Megat Wan Stapa Mek Mah Tuk
Bagih dan Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena 1992. Beliau
juga memenangi Hadiah Pertama Peraduan Menulis Puisi Remaja
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka 1986 dengan judul Batu-batu di
Laman.
Sajaknya bertajuk Tok Janggut pernah menjadi pilihan utama untuk
dideklamasi dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan.
Menyelami pencapaian beliau dalam bidang penulisan, memang cukup
hebat. Tapi kata beliau, “Aku adalah penyair di kertas, bukan
penyair di pentas.”
Merenung kata-kata Rahimidin, saya terpaksa mengaku,
“Mendeklamasi puisi (sajak, pantun atau syair) bukanlah suatu
usaha mudah.” Ia adalah suatu seni (memetik kata-kata dalam
artikel ‘Baca sajak di TV semacam ada tak kena’) tersendiri yang
unik. Seorang pendeklamasi yang baik, seakan meniup nafas
kehidupan ke dalam sesebuah puisi. Mereka berjaya menghidupkan
mesej dalam sesebuah puisi dan menyampaikan mesej dengan
berkesan sekali.
Perasaan pendengar akan terkocak mendengar kata mereka yang
seakan menceritakan kesedihan, kemarahan, kegembiraan dan banyak
pengalaman lain. Kerja begini bukan dapat dilaksanakan dengan
baiknya oleh semua orang. Suara pembaca yang berkesan harus
dapat menghidupkan suasana dalam puisi, dan membawa penonton dan
pendengar ke dalam alam puisi, menyelami dan menghayati.
Mungkin ada yang akan membantah, “Gaya persembahan adalah suatu
kaedah dan teknik tersendiri. Semua orang ada gaya pengucapan
tersendiri, ada yang memilih suara yang bersahaja.” Tapi, tidak
kira apa sekali pun gayanya, mesej yang disampaikan mestilah
jitu, tepat, menarik serta berkesan. Misalnya puisi dengan mesej
sedih patut dialunkan dengan irama yang rendah dan sedih, puisi
yang diperkayakan dengan api patriotik harus digayakan dengan
penuh semangat.
Sepanjang ‘Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur Ke-9’ baru
berlalu misalnya, ramai penyair kecil dan besar dunia berkumpul
di ibu kota. Ramai pula yang mempamerkan bakat mereka. Ada yang
sibuk menonjolkan bakat dalam bidang pendeklamasian dan
mengharapkan suara mereka didengar. Tapi, bukan semua yang
merebut peluang itu mempamirkan pengalaman yang mengasyikkan.
Memang ada penyair yang menyampaikan puisi mereka dengan baik
sekali, sama ada dalam bentuk lagu puisi, atau sekadar
mendeklamasikan puisi dengan suara yang bersahaja. Ada penyair
yang sedap suaranya, dan ada pula yang gugup dan tidak berdaya
menyampaikan mesej dengan sempurna dan baik. Ada penyair yang
asyik melaung-laung hingga cuping telinga pun kurang selesa.
Hinggakan ada orang yang berpendapat, “Jangan-jangan sampai kita
diseksa Hikayat Seribu Satu Malam yang tak habis-habis.” Maksud
mereka adalah pengulangan pembacaan puisi yang tidak menarik
tapi dipaksa semua pendengar menyokong dan mendengarnya berulang
kali. Mengikut pendapat setengah penyair luar dan dalam negara
pula, “Pengalaman yang menyeksakan. Sudahlah program terlalu
padat dan tergesa, terpaksa bangun pagi dan berjaga hingga larut
malam, terpaksa pula mengikuti rancangan yang menyelitkan
persembahan yang sedemikian rupa.”
Tidak dinafikan ramai juga yang mempersembahkan karya mereka
dengan berkesan dan menarik sekali. Contoh yang baik misalnya
Zaleha M Hashim pada Malam Hadiah Sastera Perdana di Hotel JW
Marriott dan Sutung Umar RS. Mereka ini sama ada cukup
berpengalaman, berkelebihan dari segi suara, atau mempunyai
bakat besar dalam bidang mendeklamasi sajak. Yang pasti,
pengalaman mendengar mereka menyampaikan sesebuah puisi itu
adalah pengalaman yang cukup mengasyikkan. Ia adalah suatu
perjalanan indah ke alam puisi.
Saya tidak mempertikaikan mutu persembahan penyair dalam
‘Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur Ke-9’. Saya bersetuju
dengan pendapat Rahimidin yang berbunyi, “Aku adalah penyair di
kertas, bukan penyair di pentas.” Bukan semua penyair boleh
bermain di pentas sebaik dia bermain di kertas. Tidak semua
penulis kita cekap membuat persembahan. Kalau penyair sendiri
membuat pengakuan begitu, bagaimana pula dengan yang bukan
penyair? Seorang penyair yang mengasah fikiran dan ilham lalu
diturunkan dalam bentuk tulisan terang-terang mengaku mereka
sukar menyampaikan karya mereka dalam bentuk persembahan audio.
Bagaimana pula dengan deklimator yang bukan penyair?
Menurut penulis artikel ‘Baca sajak di TV semacam ada tak kena’:
“Dibimbangi cara baca puisi di RTM itu akan dianggap sebagai
cara menggali kubur genre puisi.” Mungkin hujahnya keterlaluan.
Ini kerana hidup atau matinya genre puisi bukan hanya bergantung
kepada pendeklamasian. Tapi, tidak boleh dinafikan, pengalaman
mendengar pembacaan puisi yang indah memang membantu dalam
menggiatkan penghasilan dan penghayatan puisi. Melalui
persembahan sesebuah karya dengan baiknya, karya itu akan
mendapat sambutan ramai. Ini kerana kesan audio biasanya
mendukung keindahan visual. Dengan gabungan audio dan visual
yang baik, barulah imej 3D dapat terbentuk dengan berkesan, dan
berjaya menarik perhatian penonton.
Kata penulis itu, “Begitu juga halnya dengan pantun.
Kadang-kadang kita menonton sepasang budak sekolah berpantun.
Sudahlah suara mereka tidak jelas seperti ‘hendak tak hendak’
saja. Ada pula yang berpantun dengan kedua-dua tangan seperti
mahu menggapai atau menyambar pasangan di hadapannya.” Ini
bermakna kedua-dua cabang puisi itu tidak disampaikan dengan
baiknya. Mereka yang diketengahkan belum cukup layak dan belum
boleh menyampaikan mesej dengan baik dan berkesan.
Memang niat RTM mengadakan ruang untuk puisi itu baik dan murni.
Memang RTM ingin sama-sama menyumbang dalam mengembangkan cabang
budaya ini. Tapi, pelaksanaannya yang harus dikaji semula dan
dikemaskinikan supaya keberkesanannya dirasai bersama. Mungkin
pihak RTM ingin memberi peluang untuk mencungkil bakat baru.
Mungkin pihak RTM juga ingin turut menyumbang dalam
mengembangkan genre puisi tanah air. Tapi, pembentangan bakat
baru tanpa tapisan yang berkesan, mendatangkan kesan negatif. Ia
tidak membantu, bahkan memusnahkan. Ia tidak menggalakkan,
bahkan mematahkan semangat.
Saya memang setuju dan menyokong pihak RTM mengadakan rancangan
begitu, bahkan berasa usaha RTM belum cukup dan belum
menyeluruh. Saya seringkali terfikir, kenapa pihak RTM tidak
adakan rancangan seperti sudut buku, diskusi buku atau rancangan
sebegitu rupa untuk bincangkan buku terbitan tempatan? Rancangan
begitu tentunya membantu menggalakkan pembaca mendampingi buku
tempatan dan buku sastera tempatan.
“Stesen TV perlu buat satu peraturan dan pemilihan yang lebih
serius (tidak tangkap muat saja) dengan menapis mereka yang
benar-benar boleh baca puisi dengan baik. Kalau perlu RTM dapat
bekerjasama dengan Pena yang mempunyai pengalaman persembahan
puisi untuk memilih pembaca puisi yang benar-benar boleh
diketengahkan. Jika stesen televisen mengenakan uji bakat untuk
memilih pembaca warta berita, mengapa tidak uji bakat dikenakan
juga kepada bakal pembaca puisi. Sutung Umar RS barangkali boleh
dilantik sebagai penilai untuk menentukan siapa yang dianggap
layak baca puisi di RTM.”
Pihak RTM boleh memberi peluang kepada mereka yang kurang
professional dan kurang cekap. Tapi slotnya patut diasingkan
daripada pembaca yang telah mantap dan stabil. Mungkin harus
diadakan rancangan yang berasingan untuk menampung golongan ini.
Rancangan lain pula disusun untuk pembaca yang mantap dan
mencapai taraf professional. Dengan cara pemupukan dan
pengembangan yang lebih teratur begitu, nescaya genre puisi akan
menjadi suatu cabang penting budaya kita.
Masanya telah sampai penggiat seni, budayawan dan sasterawan
kita melupakan kelainan masing-masing, berganding bahu memupuk
dan menghidupkan sastera tanah air. Bukankah kini dunia sedang
mengalami proses globalisasi? Bukankah sastera negara sedang
berada di cabang empat sebuah zaman, dan kita dipinta membuat
penyesuaian supaya terus kekal, mantap dan bertenaga, supaya
boleh mendepani zaman yang serba menguji ini dengan lebih gagah
dan yakin? Mungkin langkah pertama ke arah itu, adalah bersatu
dan menjayakan rancangan membaca puisi di stesen TV ini.***
Kembali ke Index>>>
|