Aceh : szi kertaskerja 2002-8
WARISAN SENI BUDAYA MELAYU-ACEH
KAITAN PEMERIAN TEKS SASTERA DAN REALITI BUDAYA *
Oleh:
SITI ZAINON ISMAIL (Ph.D UM)
Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu
Fakultis Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
email: sziukm@yahoo.com
e-group: www.groups.yahoo.com/group/sebati
web: www.melora.cjb.net
Abstrak
Kertas kerja ini memaparkan warisan seni budaya Melayu-Aceh yang sudah terjalin indah lebih 700 tahun lalu. Hubungan sosio-budaya kerajaaan Melayu Semenanjung dengan Kerajaan Aceh sudah terjalin sejak abad ke 12 M seperti yang diperikan dalam teks sastera: Hikayat Aceh, Hikayat Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Hikayat Goembak. Pemerian sastera tidak terpisah daripada realiti kehidupan
ke dua-dua wilayah budaya agung ini. Kerajaan Melayu Melaka begitu menghormati kerajaan Aru, Pasai dan Perlak (pada abad ke 15 ) dan seterusnya hubungan sosio budaya semakin jelas setelah kuasa Aceh dapat menandingi kuasa Portugis di pesisir Selat Melaka. Beberapa bentuk warisan budaya yang sama masih wujud dan diamalkan di kedua-dua wilayah budaya ini. Di Tanah Melayu Semenanjung tinggalan warisan budaya seperti batu nisan Aceh bertebaran di Kuala Pahang, Perak, Kedah , Johor , Negeri Sembilan dan Selangor. Peralatan budaya yang seiras seperti sulaman benang emas (kasab), tembikar tanah hinggalah ke busana dan perhiasaan di Perak, Johor dan Pahang. . Kajian ini akan membuktikan kesamaan warisan budaya khususnya dari sudut seni rupa dan betapa mesranya pemikiran dan estetika seni budaya di kedua rumpun Melayu ini.
* * * * *
Kertas kerja ini disampaikan dalam Seminar Pengkajian
Budaya Melayu - Aceh di Banda Aceh , Nanggroe Aceh Darussalam
Pada 26 s/d 27 Oktober 2002
Pendahuluan
WARISAN yang berakar daripada perkataan Arab, 1) warith - ' orang yang berhak menerima pusaka; pusaka orang yang telah meninggal ' ; 2) ahli warith - orang yang berhak menjadi warisan; penjaga atau wali (kanak-kanak) berusia 1-10 tahun, anak yatim; 3) mewarithi - menerima harta pusaka, harta (rumah, ladang dsb), menurut/pembawa bentuk wajah juga perlakuan misalnya muka anak mirip wajah ayah/ibu atau kesamaan perlakuan seperti bidalan ' bapa borek anak rintik ' . Daripada makna tersebut muncul perkataan warithan = warisan yang dapat diertikan sebagai 1) ' sesuatu yang diwarisi , 2) yang turun temurun 3) sesuatu yang diturunkan (sila rujuk Teuku Iskandar, peny.1970: 1343). Meminjam perkataan asing , Inggeris, heritage berakar daripada perkataan hereditare (Latin) menjadi herite (Perancis Lama) semuanya membawa makna to inheret 1) that which been or may inherite ( AS Hornby 1986: 401), 2) …in herited lot, condition of one's birth: anything transmitted from accestors of past ages (William Geddie 1961: 494). Dirumuskan, warisan bukan sekadar harta biasa tetapi dari sudut budaya ia merupakan khazanah yang harus dijaga dan dipertahankan kewujudan dan kelansungannya khususnya yang melambangkan ketamadunan sesuatu bangsa ' yang telah mencapai kemajuan kebendaan serta perkembangan dan pemikiran yang tinggi peradabannya ' (Iskandar, peny. 1994: 1355).
Betapa pentingnya makna warisan sebagai khazanah budaya Melayu khususnya setelah kedatangan Islam telah diperikan dengan jelas dalam anika teks sastera Melayu Lama. Menjaga khazanah warisan berhubung sejarah keagungan kerajaan dan istiadat Melayu dapat kita petik dalam teks Sejarah Melayu, Hikayat Aceh, Hikayat Pasai, Salasilah Melayu dan Bugis dan seterusnya dalam setiap teks mengikut wilayah budaya Melayu Islam se Nusantara lainnya. Dalam Sejarah Melayu misalnya telah dipesankan,
' Hamba dengar ada hikayat Melayu di bawa oleh orang Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya supaya diketahui oleh segala anak kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingat oleh segala mereka itu, syahdan adalah beroleh faedah daripadanya ' (Shellabear,peny. 1984:2)
Kita gariskan perkataan 1) 'supaya diketahui oleh segala anak kita' , 2) boleh diingat oleh segala mereka itu ' yang dapat disimpul betapa pentingnya warisan sejarah dan adat istiadat Melayu sebagai khazanah bangsa agar terus diingati/ diamalkan. Tradisi mengingatkan warisan sejarah dan budaya ini juga dipaparkan dalam teks Hikayat Raja Pasai yang berbunyi,
' Inilah hikayat ceritera/peri mengatakan/raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka ada diceritakan oleh yang empunyai cerita ini negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman Allah dan Rasulullah…Maka ada dua raja bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun raja yang Tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat Negeri di Samarlanga ' ( Russle Jones,peny.1999: 3).
Pemerian di atas dicatat bahagian awal daripada teks, jelas menunjukkan peristiwa asal usul kemasukan Islam di Pasai serta kemunculan raja pertama yang membuka negeri Samarlanga yang masih wujud di wilayah Aceh sekarang. Betapa pentingnya sejarah warisan, dicatat pada peringkat awal - intro penting untuk dimaklumkan kepada pembaca, atau pewaris selanjutnya sehingga kini.
Apabila warisan dihubungkan dengan budaya maka dapatlah dirujukkan kepada keseluruhan sistem dan gaya hidup , the way of life, sebuah masyarakat bangsa yang telah bertamadun. Meminjam teori Brown AR Radcliff, kebudayaan diertikan sebagai ' idea cultivation , suatu proses (kehidupan, pen.) yang diperoleh oleh seseorang, melalui hubungan orang lain, melalui benda-benda, buku-buku, atau karya seni, pengetahuan, kemahiran termasuk idea dan kepercayaan . Kalau ini dikembangkan berterusan diwariskan menjadilah ia hasil warisan tradisi yang terus disampaikan ataupun diturunkan' (Radcliff, 1980: xiii-xiv). Malah dalam tradisi Melayu-Islam, warisan itu tidak saja memilih yang terbaik untuk dikekalkan, malah disesuaikan terus dengan olahan proses kerja daripada sumber alam ciptaan Tuhan. Kita kutip daripada sumber Al-Quran,
' Dan Dialah yang telah menciptakan binatang-binatang ternak untukmu. Padanya ada bulu yang memanaskan…dan (Dia
menciptakan) kuda bighal dan keledai dan menjadikan perhiasan . dan Tuhan menciptakan apa (bermacam alat perhubungan ) yang tidak kamu tahu" (Surah An-Nahl:5,8)
Allah bukan saja mencipta bahan-bahan alamiah daripada binatang, manusia menata kulit untuk menjadikan pakaian , kayu ditarah menjadi perahu, kapal, daunan pandan , mengkuang dianyaman, serat benang nanas, kapas , dari ulat sutera mulberry menjadi benang sutera ditenun menjadi pakaian dan perhiasan, daripada sumber alam bumi, emas butiran , timah diolah menjadi bahan gunaan melanjutkan kehidupan. Bukankah sumber kreasi kreatif manusia juga berpunca daripada cahaya yang menyinar kalbu manusia, sehingga manusia berkembang, bertamadun akal dan fizikal. Sebuah negara yang bertamadun adalah negara yang tumbuh dan berkembang dijaga pembangunan kota , taman dan adat istiadatnya. ' Usia sesebuah negara itu panjang, dan dapat bertahan untuk waktu yang lama maka pembinaan-pembinaan baru akan didirikan di bandar,susun atur kota akan menguasi kawasan yang sangat luas ' ( Ibn Khaldun, 1993: 387). Sebaliknya ' sekiranya usia negara itu singkat , maka kehidupan di bandar akan terhenti pada penghujung usia negara itu. Peradabanya akan mundur dan akan hancur (ibid). Walau begitu dari sudut budaya jiwa, semangat dan roh kebudayaan tidak mudah dihapuskan begitu saja. Inilah yang akan dibicarakan dalam kertas kerja, iaitu ' kembali meneliti warisa seni budaya yang dapat dianggap sebagai khazanah seni yang berusia panjang dan beberapa usaha meneruskan penerapan warisan itu tetap kekal walaupun telah banyak terjadi transformasi budaya .
Seni Budaya Selat Melaka
Hasil seni budaya adalah karya yang dihasilkan oleh sesuatu kelompok masyarakat di mana 'keahlian' atau kepakaran itu telah diwaris sejak berzaman. Dalam kelompok tradisi kecil yang menghasilkan kerajinan benda budaya yang sederhana dari daunan, tanah liat, kayu, batu berkembang menjadi karya seni tradisi agung dengan kepandaian logam serta seni ukir (emas , perak), tenunan dan sulaman benang , diusahakan oleh pandai seni untuk golongan bangsawan, pemerintah hingga menjelmanya ketamadunan bangsa itu. Dalam konteks warisan seni budaya alam Melayu telahpun terbukti dengan tinggalan bahan pra sejarah awal dengan sumbangan batu megalithik (punden, batu tanda makam leluhur), patu pedang di Pengkalan Kempas di Negeri Sembilan (Syed Ahamd Jamal, 1996 , Zakaria Ali, 1999: 147-149), batu tanda kuburan ketua adat dan raja-raja Batak, Gayo atau Toraja (Siti Zainon Ismail, 1984) . Namun warisan ketamadunan bangsa Melayu mencapai ke tahap lebih halus dan murni yang juga padat dengan nilai pemikiran dan keindahan seni khususnya setelah menyatu dengan pegangan Islam. Di sinilah luasnya warisan seni budaya Selat Melaka yang telah menyatukan keahlian tempatan bertembung dengan kepelbagaian percikan peradaban seperti Arab-Parsi, China India khususnya sejak abad ke 7 M. Kehalusan seni khat dan ragam hias arabes , organik dan geomterik telah dapat dikesan dalam makam-makam dan nisan di raja sejak kerajaan Melayu - Pasai (abad ke 12) dan terus menyebar luas ke seluruh wilayah Melayu Tanah Semenanjung dan kepulauan Melayu lainnya seperti Kepulauan Riau dan Sulawesi sepanjang abad ke 15 M. Beberapa contoh seni ukir batu nesan sudah banayk di kaji oleh tokoh sarjana tempatan (Othman Yatim dan A.Halim Nasir, 1990, Zakaria Ali, 1994, Teuku Alfian )
Hubungan Sejarah dan Budaya Selat Melaka:
Aceh dan Tanah Melayu Semenanjung
Sebelum kemunculan Aceh lagi kerajaan Melayu Melaka telahpun berhubungan dengan amat rukun dengan Pasai (Pasei), Haru (, Aru = Arun) dan Perlak (Peureulak). Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah Melaka telah menghantar utusan ke Pasai untuk, ' Duri'l-mazlum itu disuruh ertikan ke Pasai kepada Makhdum Patakan. Maka Duri'l-mazlum pun diertikan, setelah sudah dihantar ke Melaka' (A.Samad Ahmad,peny.1983:147). Pasai, Perlak dan Haru diperikan sebagai wilayah pengembangan agama Islam. Dan utusan (surat) dari negeri ini kalau datang ke Melaka akan dialukan sedarjah dengan raja Melaka dan disambut dengan meriah sekali,
' Jika surat dari Pasai atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan, gendang serunai, nafiri, negara , payung putih dua berapit;
…. Dan menteri mengepalakan gajah, dan bentara di buntut gajah; sida-sida membawa surat penghulu biduanda kecil; dan gajah dikepilkan di hujung balai, kerana raja dua negeri itu sama besarnya dengan raja Melaka ( Shellabear :57)
Pemerian di atas memperlihatkan simbol adat istiadat dan budaya Selat Melaka yang telah diamalkan sejak awal abad ke 15 M. Malah yang lebih utama di sini ialah rasa saling menghormati ilmu dan dan adat istiadat sebagai warisan budaya serantau.
Hubugnan serantau ini semakin kukuh setelah Portugis mengalahkan Melaka. Kerajaan Aceh muncul merestas Selat Melaka dan turut menyerang Portugis dari Johor dan selat kepualuan Riau. Walaupun dari satu sisi kerajaan warisan Melaka yang muncul di Pahang , Perak dan Johor 'diserang' atau ditakluki Aceh tetapi warisan kerajaan Tanah Semenanjung tidaklah dihancurkan sebagaimana yang dilakukan Portugis terhadap Melaka, atau Belanda di tanah Aceh sendiri. Dalam suasana kebangkitan Kerajaan Aceh, serangan awal terhadap wilayah persekitaran memang terdapat penentangan. Balu kerajaan Aru sendiri melarika diri ke Johor untuk perlindungan. Setelah mengahwini balu (permaisuri Aru), Sultan Alaudidin Riayat Syah , 1529-1564? telah menyerang dan mengalahkan Aceh di Sungai Panai . Tetapi Sultan Aceh di bawah Sultan Alauddin Riayat Syah al-Kahar telah membalas serangan dan menakluki ibu negeri Johor ( Leonard Y. Andaya, 1987:32). Peristiwa menakluki wilayah Johor ini dijalin dengan peristiwa budaya adat dan politik iaitu perkahwinan dan perlantikan waris raja. Beberapa peristiwa di bawah ini dicatatkan peristiwa penaklukan wilayah, penawanan keluarga diraja dan dilanjutkan dengan perkahwinan dan seterusnya menabal dan mendaulatkan kuasa dengan acara penabalan kuasa pemeritahan sama ada di tanah asal ataupun di Aceh sendiri:
tarikh |
taklukan/wil |
peristiwa |
perkahwinan |
penobatan/pertabalan |
6
jun 1613 |
menyerang
Johor di
Batu Sawar |
Sultan Iskandar Muda membawa pulang kel. sultan Alaudin lll (Rj.Mansur) termasuk Raja Seberang (Raja Abdullah). Termasuk pembesar antara Nya Bendahara Tun Seri Lanang, terus menyiapkan Sej. Melayu yg telah di mulakan di PasirRaja (Buyung Adil, 1971:63) |
Perkahwinan puteri Sultan Iskandar dengan Raja Abdullah |
Menghantar pulang Raja Abdullah dengan iringan 2000 org Aceh di bawah awas Lela Wangsa Rj Abdullah diberi gelar Sultan Hammad Syah = Ma'ayat Syah (Buyung Adil, 1984:72)
|
1617 |
Aceh menyerang
Pahang |
Sultan Alaudin menyebelahi Portugis, melantik Raja Bujang di Pahang, melarikan diri ke Pul Lingga Mertua Raja Ahamd dan Putera Raja Mughul.
Rakyat Pahang dibawa ke Acech |
Puteri Diraja Pahang Kamaliah dikawini Sultan Iskandar Muda dikenali sebagai Putroe Phang. Raja Mughul berkahwin
dengan puteri Sultan Iskandar. |
Raja Mughul dinobatkan menggantikan Sul. Iskandar Muda bergelar Iskandar Thani |
1619 |
Aceh Menyerang
Perak |
Sultan. Mukaddam dan keluarga dibawa ke Aceh termasuk Rj Bungsu=Raja Yusuf |
|
Raja Bungsu ditabal oleh Sult. Iskandar Muda sebagai sult. Perak ke 8 gelar Sultan Mahmud Shah bersemanyam di Geronggong (1627-1630) |
1619 |
Niat menyerang
Kedah tapi tak jadi |
Rombongan Aceh disambut baik di istana Siputih oleh Sult. Sulaiman Shah 11 (1602-1619), tapi di bawa juga ke Aceh (ditawan?) dengan 7000 rakyat Kedah, Sultan Sulaiman mangkat di Aceh (1629) |
|
|
Carta di atas mengutip catatan ringkas tentang peristiwa kuasa Aceh di SemenanjungTanah Melayu yang memperlihatkan peristiwa budaya potiklik Aceh ketika itu. Serangan Aceh walaupun pada dasarnya untuk menghancur Portugis atau setiap raja Melayu yang berbaik dengan Portugis atau Belanda, namun dari sudut hubungan budaya setiap penaklukan disambut pula dengan jalinan perkahwinan keluarga dan diberi pula kuasa politik sama ada dilantik berkuasa di Aceh ataupun kembali ditabalkan di negeri asal sama ada di Johor ataupun Perak.
Warisan Seni - Budaya daripada Sumber Teks
Selain Pasai dan Perlak yang lebih awal berbaik dengan kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Aceh 'berkasih ' juga dengan raja Melaka. Dalam Hikayat Hang Tuah diperikan, ' adapun negeri Acheh dengan negeri Melaka itu seumpama suatu permata dua cahayanya…tanda berkasih-kasihan saudara-bersaudara ' (Kassim: 440). Rasa kasih itu juga disambut oleh raja Aceh, kerana melihat perlakuan adab budaya Melayu melalui tingkah Laksamana ' … terlalu manis, fasih lidahnya dengan bahasa Acheh itu. Maka Laksamanapun diperjamu oleh baginda …dan dianugerah persalin selengkapnya dan diberi persalin akan Mahara Setia…' (ibid).
Konsep budaya jiwa ' berkasih-kasihan/ bersaudara' dikukuhkan lagi dengan budaya (bahasa) Aceh yang dikuasi Laksamana' telah membuktikan terjalinnya warisan budaya agung itu. Warisan budaya lain yang mempunyai kesamaan budaya MelayuMelaka ialah anugerah persalinan yang kerap muncul dalam teks sastera Melayu tradisi.
Dalam Hikayat Atjeh (Acheh) juga memerikan budaya adat memberi persalinan ini seperti yang dilakukan oleh Raja Johor terhadap Raja Setia Wangsa yang ditugas mengiringi rombongan Johor pulang dari Aceh. Begitu juga apabila rombongan raja Aceh datang ke negeri Ujung Tanah (Johor) untuk meminang puteri Raja Besar datang dengan segala peralatan budaya, pesalinan (busana) dan segala perhiasan , ' membawa alangan daripada tutup sanggul mas dan subang mas dan gelang mas ' (Teuku Iskandar .1958: 86).
Dari sini dapat dikesan pertukaran bahan-bahan dan benda seni budaya Melayu Aceh mula diperlakukan dalam lintas wilayah Selat Melaka khususnya benda budaya tampak sebagai peralatan yang muncul digunakan dalam adat istiadat istana dan berkembang menjadi bahan budaya masyarakat umum.
Kertas kerja ini mengkhusu meneliti peralatan seni budaya yang berkaitan dengan adat istiadat perkahwinan khususnya segala hiasan dan kelengkapan busana.
Adat istiadat dalam Teks Sastera Lama
Perkahwinan: peralatan budaya peminangan, hiasan pelaminan , busana dan barang-barang kemas
Hikayat Aceh memerikan peristiwa perkahwinan Raja Mansur Sjah, putera Sultan Abdul Jalil salah seorang sultan dalam zaman Sultan Ala ad-Din anak Sultan Ahmad / Perak (lihat Teuku Iskandar: 100). Betapa kasihnya Paduka Syah Alam dijodohkan dengan Raja Puteri baginda sendiri. Maka di sini diperikan dengan penuh adat istiadat antara:
Adat meminang, sirih pinang pembuka kata dan peralatan seni budaya
' Maka sultan Abdul Jalil menyuruh orang membawa sirih dalam
kampil, dan puan daripada emas yang berpermata dan daripada
tumbu-tumbu dan perkapuran emas, sekeliannya itu berpermata
yang tiada terharga dan sirih pinang itu diperciki narwastu. Dan
daripada kasturi dan 'ambar, dan beberapa mas guntingan yang
berkerawang ditutupkan / atas sirih itu dengan segala beterapan
mas permata yang terumbai-umbaikan mutia (ibid:101)
Sirih merupakan bahan alamiah yang diangkat sebagai simbol adat, bukan saja untuk dicicip makan tetapi dihias dengan indah, disusun dalam puan mas, diperciki haruman juga dirapikan dengan menutupnya kain sulaman atau kertas guntingan berhias air emas. Menghantar dan menghulur puan sirih adalah lambag penyampaian hasrat, membuka kata
Dalam Hikayat Hang Tuah, juga sirih menjadi perantara adat, sebagai adat pembuka kata, seperti pertemuan Tun Teja dengan Tun Tuah ,'…Maka Tun Teja pun menyorongkan puannya pada Tun Tuah. Maka disambut oleh Tun Tuah dengan ta'zimnya' (Kassim: 194 ). Adat memakan sirih diiringi dengan ungkapan pantun dan syair. Hal yang sama juga di perikan dalam Misa Melayu yang begitu akrab dengan warisan budaya Melayu-Aceh khususnya di negeri Perak. Setiap yang bertamu akan disodorkan puan, ' Maka anak raja itu pun serta datang lalu duduk menyembah ayahanda bonda,serta menyambut sirih di dalam puan itu lalu di makan' (Raja Chulan. 1966:35).
Kalau sirih pinang, kapur sebagai simbol pembuka kata, maka dalam adat istiadat, semua bahan tersebut di isi dalam kampil dan puan sebagai peralatan seni budaya. Pentingnya peralatan budaya itu kerap dikiaskan sebagai metafora pantun merisik atau meminang (Husin Embi dll, 1996: 64) seperti contoh di bawah ini,
Wakil perempuan :
Tatang puan tatang cerana ….( peralatan seni budaya)
Tatang biduk Seri Rama
Datang tuan datanglan nyawa
Jemputlah duduk bersama-sama
Wakil lelaki :
Cerita pinang ceriti …….(bahan kelengkapam adat menyirih)
Cerana di atas papan ….(peralatan seni budaya)
Sirih kami sirih bererti ….(simbol, pembuka kata)
Sukat makna baharulah makan ….(simbol/makna)
Busana dan perhiasan diri pengantin
Pemerian yang begitu indah dan lengkap melukiskan rekabentuk bussana dan perhiasan memang tidak dinafikan muncul dalam Hikayat Aceh dan Sejarah Melayu. Mengikut Ali Hasjmy watak Puteri Indera Bangsa Syah Alam dalam Hikayat Aceh itu adalah Puteri Safiah (Safiahtuddin) . Sekali lagi teks ini penuh dekoratif memerikan busana dan perhiasan pengantin,
'… berkain dewangga berpakankan emas bertemu emas…berbaju kesumba murup…berkancing nilam …bersubang jentera paksi bergelang bermuka
pudi manikam biram, …gelang bulat permata ..cincin pudi…cucuk sanggul (Teuku Iskandar : 13).
Dalam Sejarah Melayu juga diperikan perhiasan pengantin Raja Fatimah puteri Sultan Alauddin putera Sultan Mahmud Syah 1, ketika berkahwin dengan Raja Umar, memakia ' …barang kemas rantai buatan Manila, subang dan cincin' (Shellabear: 229)
Di negeri Perak pula adat berbusana pengantin juga diungkapkan dalam Misa Melayu, ' …maka mempelai Raja Muda pun dihiasi oleh raja yang tua-tua dengan selengkap pakaian membelai raja yang besar-besar; maka di beri memakai pakaian kerajaan negeri Perak, semuannya iaitu ratna mutu manikam' (Raja Chulan: 48). Teks ini tidak langsung memerikan secara terperinci sebaliknya masyarakat telah maklum dengan istilah ' pakaian kerajaan negeri ' (lelaki = pakaian raja sahari; seperti pakaian raja lima persalinanan ) yang berhias segala emas dan permata = ratna mutu manikam. Pemerian pakaian raja Perak itu dikatankan sebagai ' ..pakaian yang indah- indah berkain pelangi dan berbaju geramsut murup dan bulang hulu pelangi: maka semuanya itu dipercikkan dengan air emas sekaliannya serta bertelepok dengan perada terbang' (ibid: 103)
Daripada teks di atas dapat dikutip tentang anika jenis tekstil dan hiasan busana dan barang kemas yang sama digunakan di istana Aceh, Melaka,Perak dan Johor-Pahang. Antaranya ialah kain pelangi/ bulang pelangi, telepuk air emas, baju kesumba murup (Hikayat Aceh) = geramsut murup ( Misa Melayu) dengan perhiasan pudi manikam (Hikayat Aceh) = ratna mutu manikam (Misa Melayu)
Hiasan istana dan pelaminan
Hikayat Acheh memang memerikan peristiwa menghiasi istana dan pelaminan dengan lengkap dan amat berlebihan sekali sesuai dengan kebesaran kerajaan Aceh itu sendiri. Adat menghias istana langsung diarah oleh Paduka Syah Alam,
'…menyuruh orang mendudukan perjagaan serta menyuruh menghiasai istana daripada mengikat tirai daripada seresari dan mukmal dan zarbaf dan katifah yang berukir sarwa bagai warnanya …mengenakan langit-langit
dewangga keemasan ; …menyampaikan kain dua kelim suatu kelim akan tempat peraduan , suatu kelim akan tempat santap dan peranginan …kain sampaian itu daripada kain sungkit yang bertelepuk emas (dihias air perada), dan kain sungkit berpucuk rebung (motif hias) dan beberepa sungkit pelangi (sungkit hias tenunan ikat berganda), dan beberapa dari kain bersuji larat
(sungkit bunga penuh)… kain tafta bertelepuk,…cindai sutera (lih. Teuku … di peterana di hampar ciu mas yang berpermata berjala-jala
berumbai umbai…'(Iskandar: 105)
Merujuk kutipan di atas memang ketara sekali, ini bukan khayalan pengarang (Nuruddin Ar-Raniry) tetapi terbukti warisan ini masih kekal dan diamalkan oleh masyarakat Aceh khususnya dengan pelaminan (rumah pelaminan) , tempat santap dan bilik peraduan. Kekayaaan dan ketamadunan kerajaan Aceh dapat dinilai dengan penggunaan anika jenis kain seperti sungkit, cindai, tafta bertelepuk, bersirat benang emas (kasap).
Melaka dan bahagian negeri lain seperti Perak, Johor, dan Pahang masih meneruskan keindahan pelaminan dan menata istana seperti yang dicatat dalam Sejarah Melayu (kerajaan Melaka dan wilayah kuasa) , Misa Melayu (negeri Perak ) dan Salasilah Melayu dan Bugis ( kerajaan Johor Lama: Selangor, Perak dan Pahang)
Pemerian tentang adat perkahwinan di wilayah kerajaan Melayu Melaka masih dipakai dengan penuh upacara adat di wilayah Johor Lama. Misalnya peristiwa perkahwinan Raja Ali = Sultan Alauddin 16--- (putera Mahmud 1 dengan Tun Fatimah, mangkat di Kampar) dengan Raja Kesuma Dewi (puteri Sultan Mansor Pahang) telah diperikan,
'…Pada ketika yang baik, maka Sultan Alauddin dengan Raja
Kesuma Dewi pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan
bertatah ratna setelah datang ke balairung, sultan Pahang sendiri
lah menyambut tangan anakanda baginda Sultan, didudukan di atas ciur bada sila . Maka tampillah kadi menikahkan. Maka dipimpin sultan Pahang masuk dalam istana didudukan di kanan anakanda baginda Raja Kesuma Dewi. Setelah bersuap-suapan , maka Sultan Alauddin pun Memimpin tangan isterinya masuk ke dalam pelaminan. (Shellabear: 221)
Berbanding dengan Hikayat Aceh yang begitu jelas memerikan anika bentuk peralatan seni budaya dalam adat istiadat perkahwinan , maka Sejarah Melayu yang dipercayai disiapkan oleh Tun Seri Lanang di Aceh tidaklah begitu lengkap. Pemerian lebih tertumpu kepada perlakuan adat istiadat seperti menikah dan makan suap-suapan dan masuk ke pelaminan. Beberpa peralatan yang dapat dikesan bersamaan fungsi dan keindahan ialah penggunaan ciu (alat duduk kain baldu) serta bahan hiasan yang digunakan di Pahang hanya disebut 'bertatah ratna ' . Manakala pemerian perkahwian puteri Raja Alauddin iaitu Raja Fatimah dengan Raja Umar berkembang sedikit dengan memerikan tentang tirai kelambu, nasi adap-adapan dihiasi emas. Walaubagaimana pemerian tentang peralatan raja ini telah disebut lebih awal seperti peraturan yang disusun oleh Sultan Muhammad Syah Melaka (1414-1424) yang telah dirujuk sebagai adat- istiadat dan pantang larangan istana iaitu ,
' Shahdan, begindalah yang pertama meletakkan kekuningan larangn Tiada dapat dipakai orang keluaran dan diambil akan saputangan; dan tidak dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam dan bungkus barang apa-apa, karang-karangan benda lain dan tiada dapat diambil akan perhiasan (ibid: 56).
Ini juga diandaikan sebagai kelengkapan ' pakaian kerajaan ' yang digunapakai sempena adat perkahwinan, pertabalan. Cara ini berlanjutan sehingga ke wilayah kerjaan Melayu-Johor- Riau apda abad ke 18 M. Dalam perkahwinan Tengku Mandak, adinda Sultan Sulaiman Johor-Riau dengan Daing Chellak, sekali lagi adat ini digayakan seperti titah sultan kepada raja perempuan yang tua,
" Baiklah hias adinda kedua
pakaian kerajaan kenakan jua "
Dipakaikan oranglah keduanya,
Betapa adat pangkat dan darjat
Gelang dan dokoh pending keroncongnya
Dastar panjang di atasnya
(lih. Mohd. Yusuf Mde.Nor, 1984: 103)
Warisan Seni - Budaya : perbandingan dan kesinambungan realiti
Berdasarkan petikan teks di atas telah ditemukan gambaran peralatan budaya Melayu-Aceh khas dalam adat istiadat perkahwinan khususnya kelengkapan meminang (sirih, puan, cerana), kelengkapan pelaminan dan busana serta barnag-barang kemas atau perhiasan diri. Sejauh manakah kreasi teks tersebut sebenarnya memapar realiti seni budaya yang boleh dianggap sebagai warisan seni budaya Melayu- Aceh yang berusia lebih daripada 700 tahun lalu.
Bahagian ini saya akan menumpukan langsung kepada ciri-ciri kesamaan seni budaya Aceh yang bertembung dengan budaya Tanah Melayu Semenanjung khususnya Perak , Pahang , Johor dan Kedah. Tumpuan tetap kepada kelengkapan seni budaya dalam adat istiadat perkahwinan dan hiasan busana. Lebih mengkhusus pula ditumpukan kepada ciri Aceh dalam budaya di Semenanjung Tanah Melayu Semenanjung .
Peristiwa penaklukan dan perkahwinan yang berlaku antara Aceh terutama sejak zaman Sultan Iskanda Muda Syah Alam dan Melayu khususnya dalam zaman kuasa Kerajaan Melayu Johor-Riau memang telah 'mempertembungkan nilai adat adat istiadat lengkap dengan penggunaan bahan budaya. Setiap peristiwa penaklukan berakhirkan dengan membawa 'tawanan' ke Aceh. Kerap pula dikahwini dan ditabalkan.Tidak kurang pula putera raja ditabal dan dikembalikan memerentah semula di tanah kelahiran masing-masing. Anak raja Melayu 1 yang dilantik menjadi raja Aceh ialah putera Sultan Mansur Shah1 dengan gelaran Sultan Alaidin Mansur Syah (1577-1585) ( Raden Hoessein (1982/1983: 28). Beberapa perisitwa perkahwian antara dua kuasa Melayu- Aceh inila hyang mempertembungkan perlakuan bduaya adat termasuk segala kelengkapan bduaya itu. Beberpa peristiwa itu dicatat di sini yang melibatkan tokoh-tokoh sejarah dan pemirian teks sastera Melayu lama itu.
Unsur Aceh dalam busana Puteri Perak
Pertembungan seni budaya unsur Aceh di Perak dapat dikesani melalui istilah busana Puteri Perak yang masih diamal sampai sekarang.. Istilah Puteri Perak memang tidak asing lagi di istana Aceh. Sultan Iskandar sendiri pernah terarik dengan Puteri Limau Purut puteri Sultan Mukhadam Syah (1603-1611). Puteri ini sudahpun bertunang dengan
Sepupunya Raja Mansur adinda Sultan Alaudin Syah Marhum Mangkat di Darat. Atas penolakan peminangan ini Perak diserang dan puteri bersama ibu dan keluargg istana di bawa ke Aceh. Selama di istana Aceh inilah istilah Puteri Perak menjadi terkenal. Tetapi puteri ini berhasil di larikan semula ke Perak tetapi turut membawa peralatan budaya dan gaya berbusana yang memakai seluar panjang, sampin dan baju cekak musang berbutang tiga (gambar 1). Ini merupakan kesinambungan ' pakaian kerajaan ' yang kerap diulang dalam teks sastera, sebagai busana puteri dan anak-anak raja alainnya. Maka dalama acara adat (kini dilanjutkan sebagai busana Puteri Perak untuk acara persembahan seni budaya) dipakai lengkap dengan perhiasan seperti gelang, dokoh, pending, keroncong dan lelaki (pengantin) dengan destar panjang (tinggi) di kepala.
Unsur Aceh dalam busana Melayu Johor Lama
Pertembungan seni budaya Aceh-Johor dapat dikesani apabil Raja Abdullah adinda Sultan Alaudin 11 dikahwinkan dengan adinda Sultan Iskandar Mudah dan di bawa pualng semula ke Batu sawar. Tentu saja permaisuri membawa segala peralatan khasnya busana dan kelengkapan diri. Dari sinilah juga berkembang busana Melayu Lama Johor kurung pendek cekak musang, seluar panjang dan ditutupi dnegan kain sungkit panjang yang dipakai cara meliliti mencelahi kaki dan satu hujung punca kain di letakkan di bahu kanan menjadi sebai. Pengantin lelaki pula berbaju belah dada bersamping panjang ikat gantung punca tergantung. Lengkap pending, keris di pinggang dan destar orang besar-besar (gambar 2)
Unsur Aceh dalam pusana pengantin Pahang
Raja Mughal dari Pahang di kahwinkan dengan Raja Safiah, akhirnya
ditabalkan menjadi Sultan Iskandar Thani (1636) . Iskandar Muda sendiri mengahwini Puteri Kamaliah juga dari istana Pahang. Sultan Iskandar Muda mendirikan gunungan hanyakan kasihnya kepada Puteri Kamaliah, malah tercipta Hadih Maja yang berbunyi,
Adat bak potuo Meureuhom
Hukum bak syiah Ulama
Kanun bak Putrou Phang (Puteri Pahang)
Reusam bak Lakseumana
Dari sudut busana puteri Pahang juga masih dapat dikesani melalui baju kebaya leher cekak musang , bergendik , bunga jurai , petam, pending (gambar 3). Beberapa peralatan budaya lain ialah adat menghantar belanja d atas ceper bertutup sulaman tekad, kipas, kasut dll
Seni Budaya Sulaman tekad - kasab
Beberapa peralatan budaya lain telahpun dibicarakan lebih sepuluh tahun lalu (lihat " Budaya Selat Melaka" dalam Percikan Seni 1989 : 101-113) terutama perbandingan reka corak sulaman kasab Aceh Pidei dengan Kuala Kangsar, Perak. Di sini akan lebih ditumpukan kepada motif hias flora dan fauna yang mempunyai kesamaan sama ada daripada pemerian teks ataupun kesinambungan kerja seni budaya tersebut.
Perkembangan budaya Selat Melaka memang berurutan dengan kemasukan bahan-bahan dari Arab-Parsi, India dan China. Keahlian pandai seni Melayu-Aceh ialah kembali menggarab kepelbagaian citra hingga melebur citra asal (dari luar) dan menyatu sebagai hasil karya temaptan . Malah berbagai istilah luar itu telah diterima dan dimaklumi sebagai simbol keagungan warisan: seperti hiasan langit-langit, tabir daripada sakhlat ainul banat (Arab - Parsi)dan masjar (Arab-Parsi) dewangga (India) beremas (di Perak,Raja Chulan: 96). Hal yang sama juga muncul dalam peralatan seni budaya Aceh, ' tirai dibaja berpakai ainulbanat, dan dewangga..' (Hasjmy, 1977: 83) . Contoh ini dapat dilihat dalam anika peralatn hiasan pelaminan sama ada di Aceh (gambar 4) ataupun hasil tekat menekat Perak: sepatu, kipas, coir (gambar 5)
Begitu juga perhiasan diri daripada emas dan perak yang berkaitan dengan upacara adat istiadat perkahwinan itu. Hingga abad ke 18 M, Aceh masih menghasilkan kesenian emas termasuk ukiran gelang kaki, keronsang, rantai, pending, patam dhoi. Tradisi membuat barang kemas ini juga merupaka warisan tradisi agung kerajaan Melayu dengan wilayah budaya yang luas meliputi Kelantan, Trengganu dan Pahang. Tradisi pembutan barang kemasi ini masih kekal di Kelantan dan Trengganu yang dipakai untuk upacara raja sahari di kalangan rakyat biasa.
Falsafah alam : motif hias flora-fauna
Berdasarkan konsep semua unsur alam ciptaan Tuhan, pandai seni Melayu-Aceh tidak akan menyeleweng makna Ciptaan Yang Maha Esa.Walaupun memetik unsur alam hidup dan bernyawa, tetapi unsur itu telah diubah suai, tidak lagi berbentuk tiga dimensi. Maka motif ayam jantan, buraq, merpati, cendrawasih, rama-rama, semut, siku keluang masih wujud berkembang tersulam indah dalam peralatan pelaminan, bantal, cior, kipas dsbnya. Hal yang sama juga boleh diteliti dalam sulaman tekat di Selangor dan Perak dengan istilah motif daripada alam yang hampir sama di Aceh antaranya ' tali air = taloie (Aceh) = telayo (Perak) , ombak-ombak, keluk awan, bintang, kejora dan pelangi.Begitu juga unsur kaligrafi dengan susunan kalimah Allah, Muhammad, kalimah syahadah, ayat kursi juga menghiasi peralatan sulaman benang emas. Berikut disenaraikan beberapa jenis peralatan untuk adat istiadat perkahwinan yang mempunyai keseragaman makna dan fungsi gunaan dan simbolik seni budaya Melayu- Aceh.
Bi. Perkara Nama/istilah dalam adat isitadat perkahwinan
Kerajaan Aceh Kerajaan Melayu
1. sirih ngantarke sirih - sirih besar sirih puan (membawa puan)
cerana , puan sirih menunggu - sirih junjung
2. hiasan pelamin ciyo mas berkasab cior tekad = ciur bada bersila
tirai tirau baja tepi tabir ( tirai atlas masri,
(ainulbanat dewanggan) masyar dewangga emas,tabir
syah sahlat ainul banat)
3. perhiasan diri cupeng caping
hiasan kepala patam dhoi petam dahi
gandek gendek
hiasan pinggang peunding pending
hiasan leher rantai seurati rantai serati
hiasan dada simplah simplah dada
keureusang keronsang
hiasan tangan gleung gelang
hiasan intan permata pudi manikam biram ratna manikam
4. baju baju kesumba murup baju geramsut murup
Keindahan seni budaya Melayu - Aceh
Beberapa kesamaan lain yang amat ketara ialah jenis kain atau tekstil yang diguna pakai bagi kalangan bangsawan ataupun pengantin ,. Antaranya ialah kain su(o)ngkit, pelangi, cindai dan dengan motif penting pucuk rebung. Di wilayah Semenanjung Tanah Melayu beberapa jenis kain dan pola busana masih mengekalkan sumber asal .Misalnya seluar potong Aceh, baju sikap Aceh, songket Aceh rusak dan di Perak dikekalkan baju "Puteri Perak" yang langsung meminjam citra inong aceh atau daro baro muncul di Perak. Dan busana Johor Lama meminjam pola baju cekak musang wanita Aceh. Baju Melayu pula muncul diguna pakai oleh masayarat Aceh di Langsa iaitu baju leher cekak musang yang dipadankan dengan sarong songket atau sarung Bugis.
Kesimpulan
Huraian di atas lebih mengungkap pengalaman kajian teks sastera lama yang dibandingkan dengan perlakuan seni budaya masa kini. Kajian lapangan yang dibuat di Aceh sejak 1986 lalu, nampaknya Aceh tetap melestari dan mengungkap warisan tradisi berpakaian dan adat istiadat persandingan, masih kekal dan utuh. Kalau terjadipun perubahan mungkin dari sudut material dan sedikit perubahan gaya struktur pelaminan. Daripada bentuk 'rumah Aceh' kepda bumbung lengkung berkubah (gambar 6). Busana adat entat linto dan daro baro masih boleh dipraktis dan muncul juga dalam kesenian gerak laku khususnya tarian.
Busana Puteri Perak mula diperhatikan khususnya di Perak dan baru-baru ini dihidupkan semula oleh Jabatan Kebudayaan Negeri Kedah sempena meraikan penabalan anugerah Putera Maha Wangsa kepada Tan Sri Pendeta Prof Ismail Hussein pada 18-20 Oktober 2002 yang lalu.
Cadangan kajian masa depan
Kerjasama penyelidikan PUSMA perlulah digembeling lebih serius. Telah berzaman sejarah dan seni budaya Melayu- Aceh menyatu. Tetapi kerja penelitian serius secara bersama masih belum dilaksanakan. Selama ini kita hanya tahu ada Pantai Aceh, Sungai Aceh, Kampung Aceh, Lebuh Aceh, makam berbatu nisan Aceh di Semenanjung Tanah Melayu . Di Aceh pula ada penjara Keuda. Sungai atau gampong Keuda. Mungkinkah di sini dulu ditempatkan orang tawanan dari Kedah yang dibawa lebih 5000 orang sejak zaman Sultan Iskandar Muda dan akhirya menyatu budaya dengan penduduk tempatan? Usaha pemuziuman juga amat penting dilakukan. Selain pertembungan idea lewat seminar ini, kerjasama dengan berbagai pihak terutama sarjana dan instituisi dua wilayah utama ini harus dilakukan sebaik mungkin. Dengan langkah PUSMA ini diharap segala idea dapat dikumpul di analisis, dibuku, dikembangkan dalam pentuk pengajaran di pusat pendidikan dan disebar luas demi warisan budaya anak bangsa Melayu-Aceh masa depan. Insya-Allah
19-22 Oktober 2002
Bibilografi
A.Hajsmy, 1977. 59 Tahun Aceh Merdeka di Bawah Pemerintahan Ratu. Jakarta:
Bulan Bintang
------------, 1983. Kebudayaan Aceh dalam Sejarah. Jakarta: Beuna
Andaya,Leonard Y., 1987. Kerajaan Johor 1641-1728. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
------------------------ dan Andya, Barbara W., 1980. History of Malaysia. London: Macmillan
A.Samad Ahmad, peny. 1983: Sulatus Salatin (Sejarah Melayu). K.Lumpur: Dewan Bahasa
Dan Pustaka
Buyong Adil, 1971. Sejarah Johor. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
---------------, 1972. Sejarah Perak. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
---------------, 1980. Sejarah Kedah.K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
---------------, 1984. Sejarah Pahang. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Geddie,William , 1961. Chamber's Twentieth Century DICTIONARY. London : W&R
Chambers
Hornby,AS,1986. Oxford Advanced Learner's Dictionary of Current English. Oxford:
Oxford Press Jones
Hurgronje, Snock, 1985. Aceh di mata Kolonialis. Jakarta: Yayasan Soko Guru.
Husin Embi, Haron Hj.Kidam dan Mokhtar Md.Yasin, 1996. "Adat Istiadat Perkahwinan di
Melaka " dalam Zainal Abidin Borhan dll, peny. Adat Istiadat Melayu Melaka.
Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia dan Akademi Pengajian
Melayu,Universiti Malaya.
Kassim Ahmad, peny.1966. Hikayat Hang Tuah. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Leigh, Barbara, 1989. Seni Kerajinan Aceh.Jakarta: Djambatan
N.A. Halim, 1981: Tempat-tempat Bersejarah Perak. K.Lumpur: Muzium Negara
Radcliff, Brown AR, 1980. Struktur dan Fungsi dalam Masyarakat Primitif. K.Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raden Hoesin Djajaningrat, 1982/83. Kesultanan Aceh . Aceh: DPDK
Raja Chulan , 1966. Misa Melayu. K.Lumpur: Pustaka Antara
Russel, peny. 1999. Hikayat Raja Pasai. K.Lumpur: Yayasan Karyawan dan Fajar Bakti
Fajar Bakti
Shellabear, W.G.,peny. 1984. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti
Siti Zainon Ismail, 1984. Getaran Jalur dan Warna. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
----------------------, 1989. Percikan Seni. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
----------------------, 1995. Tekstil Tenunan Melayu. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
----------------------, 2000. Aceh dalam Kembara (manuskrip) .
----------------------, 2001. Pakaian Cara Melayu (dalam percitakan)
Syed Ahmad Jamal, 1996. Rupa dan Jiwa. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
T.Alibasjah Talsya, 1985. Adat Resam Aceh. Banda Aceh: Pustaka Meutia
Teuku Iskandar, peny. 1970. Kamus Dewan. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
--------------------------. 1994. Kamus Dewan (Edisi Baru). K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Othman Yatim dan N.A. Halim ,1990. Epigrafi Melayu. K.Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Zakaria Ali, 1994.Islamic Art Southeas Asia 839 A.D. - 1570 A.D. K.Lumpur: Dewan Bahasa
Dan Pustaka
Kembali
ke Index>>>
|