PUSMA Online

 

PUSAT STUDI MELAYU-ACEH

www.pusma.8m.net

 Artikel
 Puisi
 Prosa
 Galeri Foto
 Sahabat
 Agenda

Melihat Diri Sendiri Dalam Karya Snouck Hurgronje 
Profesor Madya Dr. Zakaria Ali 
Pusat Pengajian Seni Pulau Pinang



Dalam bukunya The Achehnese Snouck Hurgronje menjadikan kita bahan penyelidikan, dibantu ketajaman minda dan kebuasan politiknya. Serentak analisis sosial, kupasan sastera, dan laporan intipan, buku ini adalah satu persediaan perang untuk pasukan Belanda yang nanti akan kembali menceroboh Aceh. Bertopeng sebagai Abdul Ghaffar, Hurgronje senang diterima sebab di Bandar Aceh pada tahun 1891 jarang sekali terdapat Belanda yang kononnya Muslim. Dengan latar-belakang gagah sebagai orang yang sudah naik haji, Hurgronje adalah pakar bermain muka, sesudah menyelinap masuk ke dalam suaka suci, dan menapak keluar setahun kemudian dengan Mekka: In the Later Part of the 19th Century dalam bahasa Jerman terbit pada tahun 1888, ketika berusia 32 tahun, mengikut langkah pengkhianat agama yang terawal, Jacob Burkhardt (Travels in Arabia, 1829). Merujuk kepada penduduk daripada kepulauan Melayu itu sebagai "Jawah", Hurgronje menyenaraikan kegugupan, kekeliruan, kebodohan dan keterbukaan kita.
Dalam Mekka, Hurgronje melihat bahawa bangsawan Melayu itu suka menyebar dongeng bahawa Imam Besar di Mekah telah menganugerahkan darjat kebesaran kepada mereka. Dengan demikian, maka sahlah kedudukan mereka itu dalam pandangan rakyat biasa. Orang Jawah naik kapal kepunyaan Arab di beberapa pelabuhan di Aceh yang ramai nanti meninggal diserang berbagai penyakit, sehingga lega kapten kapal tersebut sebab bebannya sudah direngankan. Dikurung buat sekian lama di pulau Kamaran, orang Jawah itu diperas ugut pula oleh sheikh yang sepatutnya membela mereka. 
Tanpa jaminan apa-apa, pedagang Mekah membenarkan orang Jawah bawa pulang periuk atau belanga untuk dicuba terlebih dahulu sebab orang Jawah itu termasyur tulus, terkenal sebagai pembantu rumah yang setia sehingga pedagang-pedagang Mekah berebut-rebut mengambil mereka bekerja. Tanpa selidik siasat, peminjam duit menghulurkan sebab hutang itu pasti akan dijelaskan. Orang Jawah kerap menerima bekalan wang daripada saudara mara di tanahair. 
Sesudah berada di Tanah Suci semusim dua, orang Jawah itupun mulai ikut perangai Arab: mencari untung, menipu, membohong. Dengan berlesen untuk menjadi pemandu, orang Jawah itu pula mengambil giliran memeras ugut bakal haji yang berasal daripada daerahnya tanpa merasa kasihan apa-apa. Dalam salah satu daripada sejumlah kenyataan yang bertentangan, Hurgronje mengeluh:
"Ramai orang Melayu tanpa segan silu mengabaikan kerja agama; mudah sangat berhubung dengan jantina berlainan; angkuh, bodoh, tanpa rasa harga diri, langsung tidak tepati janji pada kawan, dan cabut bila nampak pemberi hutang, macam pencuri". 
Sering juga orang Jawah menjadi badut. Sesudah ditipu membeli topi tinggi, orang Jawah itupun berjalan terhuyung-hayang kelihatan amat hodoh, di tengah panas terik dan ditertawakan orang. Dia ternampak sebuah tembikai yang merah lazat sehingga mulutnya melopong meleleh-leleh. Penjual buah memotong sekeping dan menyumbatkan ke dalam mulut orang Jawah itu dengan biadab. Kerabat di raja Melayu dan Jawa merasa kagum berada di Tanah Suci lantas tak semena-mena menciumi tangan Arab kokak yang kebetulan melintas di hadapan, atas kepercayaan bahawa bersalaman tangan itu berpahala. Orang Arab itupun mengenyit pelik melihat kelakuan tak pasal-pasal menghina diri sendiri itu. Lama kelamaan orang Jawah itu mula membenci tanah airnya yang tidak ubah macam seketul tahi lembu, berbanding Mekah yang begitu suci.
Untuk menjadi manusia Muslim baru orang Jawah itu mengArabkan nama kampung asalnya yang Tuan Sheikh sahkan dengan jampi berbayar: Shafi'e dari Padang menjadi Fadan, Aceh menjadi Ashi, Palembang menjadi Felimban. Hurgronje juga nampak bahawa di kalangan masyarakat Jawah, perasaan daerah adalah tebal. Seorang jemaah daripada Jawa yang pencen yang telah dibasuh otaknya sehingga dia percaya orang putih saja yang layak memerintah negara Muslim, bertanya kepada seorang jemaah Aceh pasal perang yang berlarutan di Lloksumawe. Tersinggung oleh pernyataan tersebut, jemaah Aceh menjawab pengecut macam orang Jawa itulah yang membuat orang-orang kafir bertambah kurang ajar. Insyallah, sudah beribu orang Belanda itu diusung ke neraka. Dan Hurgronje bersetuju bahawa jubah Arab jemaah pakai sekembalinya daripada Mekah itu diharamkan sebab itu nanti mempertebalkan rasa fanatik. Fanatik itu istilah selimut yang digunakan Belanda untuk menyelubungi sesiapa saja yang menentang pemerintahannya. 
Hurgronje mencatat bahawa bakal rekrut untuk menentang Belanda itu datang daripada rumah-rumah wafah yang bertaburan di Mekah di mana pelajar-pelajar Aceh dan juga daripada setiap pelosok kepulauan Melayu bermukim untuk mengaji Syariah dan cabang-cabang ilmu agama yang lain. Mereka diajar dalam bahasa Melayu, Aceh, Sunda, Lampung, bergantung kepada kampung asalnya. Nahu Arab dipelajari melalui terjemahan baris-baris ayat dari bahasa Arab ke bahasa Aceh, menekankan letaknya kata kerja, adakah subjeknya tunggal, jantan, atau berbentuk dua-an, atau tiga-an. Kepada Hurgronje, mendapat ilmu dan membiaknya sentimen anti-kolonial adalah sinonim. Kebencian itu dibakar oleh persoalan berhubung dengan masa depan Aceh, bukan Aceh yang sekarang: bebas daripada cengkaman kafir, digantikan dengan persekutuan pan-Islam. Impian ini lantang kedengaran dalam khutbah dan buku-buku yang ditulis pemikir Jawah, diterbitkan di Mekah yang dengan sendirinya bererti sah dan rasmi; oleh itu, luas tersebar. 
Di kalangan para pemikir yang Hurgronje temui, ada seorang yang amat mengkagumkan bernama Sheikh Muhammad Nawawi yang berasal daripada Banten tetapi sudah bermukim di Mekah selama 30 tahun, demi memperdalami kajiannya ke atas Iman al-Ghazali. Muhammad Nawawi telah mengarang 20 buah buku-ilmuan, termasuk kupasan ke atas buku Nahu karya Ajrumiyyah, terbit pada 1881; satu tretis ke atas stail, Lubab al-bayan. 1884; kupasan bertajuk Fathal al-mujib ke atas Ad-durr al-farid, 1881; 3 jilid buku dedahan ke atas Syariah; dua kupasan ke atas Molid oleh Barzanji; kupasan ke atas puisi mengenai Nama-Nama Allah yang cantik; dua kupasan tebal ke atas segala jenis undang-undang; kupasan ke atas Manasik karya Sarbini; kupasan tambahan ke atas Suluk al-jadah dan ke atas Sullam al-munajah oleh Hadrami. Nawawi adalah lambang komitmen manusia Jawah itu kepada Islam.
Hurgronje mengingatkan bahawa Muhammad Nawawi tiada kena mengena dengan kerja mengugut jemaah yang baru sampai, jemaah yang keliru dan terkial-kial. Nawawi samasekali tiada kebolehan, keinginan, masa, tiada niat hendak mencari duit untuk hidup mewah. Pelajar-pelajarnya melambak-lambak meninggalkan hadiah. Nawawi memilih hidup yang amat sederhana, menulis buku hingga ke larut malam bercahayakan lampu minyak tanah.
Memang Hurgronje kagum pada orang yang imannya sekental seperti Nawawi tetapi dia juga cukup kuatir sebab dia sudah nampak pelajar dan jemaah yang pulang nanti, sesudah terdedah kepada dunia luar, pasti mempunyai pendapat yang mengancam kedudukan Belanda menindas kaum pribumi. Tema kekentalan pribumi inilah yang dinyatakan dalam ayat pertama dalam buku The Achehnese:
"Pada bulan Julai 1891 saya ke Aceh atas perintah Kerajaan Netherlandia untuk membuat kajian khusus ke atas hal-hal agama yang terserap dalam rangka politik di negara tersebut. Semasa bermukim di Arabia (1884-85), terutama di Mekah, saya telah mendapati sejumlah maklumat berkaitan dengan rasa fanatik orang Muslim Aceh yang menentang sekeras-kerasnya pemerintahan Belanda. Maka amat perlu saya sendiri turun ke padang buat sekian lama di bumi Aceh agar melengkapkan lagi maklumat daripada sumber sastera dan juga daripada pengalaman saya di bandar suci bangsa Arab itu." 
Lapan bulan di lapangan, Hurgronje sudah mengutip cukup bahan untuk menulis laporannya mengenai berbagai puak, pakaian, tempat tinggal, kampung, adat, pentadbiran mukim, hulubalang, sultan, ulamak. Hurgronje menyiasat sumber-sumber seperti penanaman tebu, padi, penangkapan ikan, konflik atas hak tanah dan air. Perkara-perkara seperti perkahwinan, perceraian, mengandung, kelahiran, membela anak, penyakit, ubat-ubatan, tahyul, kematian, pengkebumian juga diselidiki. Sama pentingnya, dia mengintip macam mana Islam diajar di sekolah dan di madrasah, amalan dan salahguna ilmu tesawwuf. Dia merengkaskan epik dan hikayat, mengagihkan karya pra-Islam dan Islam, dan mengumpul manuskrip dengan bayaran semurah air kelapa. Setiap butir maklumat adalah berguna.
Dalam Bab 4 Jilid 2 dia mengaturkan tajuk kepada 7 bahagian. Satu, pengenalan; dua, dokrin, kepercayaan umum, pemujaan wali, sumpah; tiga, "tiang-tiang Islam"; empat, perundangan rumah tangga; lima, perdagangan dan bisnes; enam, kerajaan dan pengandalian keadilan; tujuh, masa depan Islam.
Sesudah mengkaji kanak-kanak menghafal sebutan Arab dalam membaca al-Quran, Hurgronje terus menyentuh soal bidaah di kalangan puak panteis yang mentafsir al-Quran secara sewenang-wenang sehingga memeranjatkan ulamak ortodoks. Puak panteis menolak hukum lima solat yang wajib, bermain-main dengan angka empat sebagai unsur penyatuan sejagat, yakni, empat mata angin, empat unsur, empat kedudukan sembahyang, empat malaikat, empat khalifah rahsyidun, empat mazhab ortodoks. Manusia mempunyai empat kaki tangan sebab dia menjiwai empat sifat Tuhan. 
Seorang penyeleweng Habib Seunagan mengajar bahawa al-Quran boleh dipegang oleh orang tidak berwuduk, lelaki boleh beristeri sembilan, menentu arah kiblat pribadi, dan mengucap: "Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Habib ini bertubuhkan badan rasul Allah". Maka para hulubalang terpaksa didesak supaya menghapuskan para penyeleweng dan buku-buku mereka dibakar tetapi lambat laun makam mereka dipuja, seperti dalam kes Teungki Teureubue.
Hurgronje cepat tangkap rasa tegang antara ulamak di satu pihak, dan penghulu di pihak yang lain. Penghulu mentadbir soal undang harta pusaka dan perkahwinan, mengawal masjid, dan tanda-tangani sijil perkahwinan tetapi dituduh oleh ulamak rasuah, bangang, jahat. Melenting, penghulu menuduh pula ulamak suka berkelahi, bertikam lidah, dan taksub. Setiap puak ada pula pengikutnya yang mencerminkan perpecahan masyarakat yang tidak mempunyai pemimpin tunggal berkuasa ke atas semua mukim. Dengan menumpukan perhatian kepada permusuhan ini, Hurgronje memusnahkan imej bahawa masyarakat Aceh itu padu. Tetapi dia juga mengakui bahawa orang Aceh itu rela kurban nyawa mengusir puak kafir yang menceroboh.
Dalam masa yang amat gawat ini, tariqah Naqsibandiyah dan Qadiriah berkembang, membantu pejuang memperkokoh kekuatan batin, meluruskan jalan ke gugur syahid. Juga berkembang ialah kepercayaan kekebalan. Prihatin kepada jumpaan-jumpaan Sigmund Freud yang giat diperbincangkan di Eropah, Hurgronje menyentuh pasal imej mimpi dan makna-maknanya: badan bogel = nasib tak baik; rambut atau janggut panjang = nasib baik; kepala botak = rugi besar; hendak mati = panjang umur; berjubah putih, atau gigi gongak = ibu bapa mati awal; hilang taring = kematian abang; rumah terbakar = kekayaan; naik gajah = menjadi masyur; ular = kahwin; naik kapal = jumpa hantu; makan pulut = berjaya. 
Hurgronje merengkaskan 98 buah karya sastera. Ada berbentuk epik seperti Hikayat Malem Dagang dan Hikayat Pochut Muhamat; ada pula cerita dongeng, agama, puisi. Hurgronje juga menyalin Hikayat Perang Gompeuni yang dilafazkan kepadanya oleh pencipta penyair Dokarim. Ironi sekali sebab Teuku Uma yang dikesahkan di dalam hikayat tersebut telah memerintah Dokarim disenyapkan atas tuduhan bantu askar Belanda buru pemberontak. Hurgronje berkata, tanpa bukti, bahawa sastera Aceh, sama seperti sastera Melayu di Semenanjung, tiru model India Selatan. Pasukan jin berarak melintasi langit; pertapa keluar daripada gua persis macam Zarasthustra rekaan Nietzsche, disinari kilauan wawasan; wira menderita dan bertahan; wirawati diculik dan diselamatkan; istana jelma dan ghaib; dewa dan gergasi bergelut menggegar buana. Hurgronje menegaskan bahawa imej-imej tersebut wujud dalam kepala orang Aceh, meskipun tempelan agama amat tebal di luar.
Meskipun dokrin jihad itu sudah meresapi jiwa manusia Aceh, Hurgronje tetap menganjurkan bahawa Belanda mesti memusnahkan dia, menggunakan kekerasan, atas nama tamadun Eropah moden.
Bersenjatakan meriam dan senapang yang dipegang oleh pasukan profesional terlatih dalam taktik perang anti gerilya maka Jeneral J.B. van Heutsz yang amat kejam itu menewaskan barisan pahlawan bersenjatakan lembeng dan keris pada tahu 1904, menamatkan peperangan yang bermula sejak 1874. Mengikut satu laporan, Aceh kehilangan 25,000 nyawa lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan Belanda 4000. 
Membaca kembali buku-buku ini pada awal abad ke 21, kita bertanya sudahkah kita atasi perbezaan pendapat, mempelajari seperkara dua daripada sejarah, untuk menentukan tempat kita yang sah di kalangan keluarga bangsa-bangsa sejagat? 

Seberang Jaya
Pulau Pinang
22 Oktober 2002


Kembali ke Index>>>

Untuk Menyelesaikan Konflik Aceh
Belajarlah dari Snouch Hurgronje 
(28/10/2002)

Mencari Budaya Asli yang Hilang (27/10/2002)

Seminar
Budaya Melayu-Aceh
(25/10/2002)

Sekretariat PUSMA
Jalan T. Nyak Arief No. 314 Darussalam Banda Aceh, Indonesia, Telp. 0651-54558 

Email: pusma@lycos.com